Benelli Leoncino … Kepuasan Dan Keselesaan

Benelli Leoncino, mungkin ramai belum berpeluang untuk melihatnya dengan lebih dekat ataupun hanya melihat gambar dan spesifikasi di website sahaja. Ramai juga rakan-rakan Admin bertanyakan khabar Leoncino ini atau dalam Bahasa Melayu, Anak Singa (Lion Cub). Benelli Leoncino adalah sebuah motosikal berkonsepkan klasik retro digabungkan dengan teknologi moden menjadikan ia sebuah motosikal yang versatil.

Bila Mforce memberi Admin peluang untuk menguji Leoncino, Admin cuba memikirkan kemana hendak dituju. Yea, ke Pulau Pinang kita kali ini. Jadi Admin pun mempersiapkan diri untuk perjalanan yang boleh dikatakan agak jauh. Kebetulan ada gathering dengan rakan-rakan motosikal jenama Itali, mana tau ada yang berminat dengan model kompak ini. Motosikal retro klasik moden ini sungguh selesa dan sesuai untuk kemana-mana.

Kali pertama Admin menghidupkan enjin Leoncino, Admin kagum dengan bunyi yang dihasilkan oleh enjin 2 silinder selari ini. Nak tahu kenapa? Sistem ekzos yang dihasilkan oleh Benelli ini tidak kedengaran seperti bunyi kebiasaan dari motor 2 silinder selari yang lain, seolah-olah bunyi deruman ekzos dari enjin 4 silinder. Layan sungguh bunyinya.

Setelah semua keperluan diperiksa, maka bermulalah perjalanan Admin ke Pulau Pinang. Macam biasalah sementara nak sampai ke Lebuhraya PLUS, terlebih dahulu kena meredah kesesakan di Bangsar. Ermm… no comment kerana Leoncino ini saiz nya tidak terlalu besar dan mudah untuk mencelah dalam kesesakan jalan raya. Kuasa yang dihasilkan dari enjinnya mudah dikawal dan tidak agresif membuatkan kita selesa menyelesaikan isu meredah kesesakan ini. Kalau jadi kenderaan untuk kegunaan harian ke tempat kerja pun memang sesuai.

Selepas meredah kesesakan lalu lintas bandaraya, tiba masa untuk menguji Leoncino ini di lebuh raya. Lagi sekali Admin terjerit wow! Respon enjinnya yang menghasilkan kuasa setinggi 47HP dan dipacu dengan kotak gear 6 kelajuan ini tidak mendukacitakan. Bila layan seorang diri ni, lain macam jadinya. Ibarat anak singa mengejar mangsanya. Cuba bayangkan. Untuk perjalanan jarak jauh, sudah pasti kita akan cuba mencari kelajuan cruising yang sesuai. Jadi Admin lock kelajuan seperti kebiasaan Admin pada 130km/jam. Ok, terasa selesa dengan posisi kedudukan menunggang dan juga sistem suspensi yang mengawal motor ini dengan baik sekali. Memang puas hati lebih-lebih lagi bila mula mendaki menghala ke Terowong Menora. Leoncino teruji lagi. Apa yang boleh dikatakan, ia seperti menurut sahaja apa yang kita arahkan.

Dalam keseronokan menunggang Anak Singa ini, sekali sekala Admin terpulas pendikit terlebih sedikit dan ada sekali tu melebihi 170km/jam. Kusss semangat. Ini lah akibatnya bila mengikut motor yang kuasa enjinnya lebih besar sampai tak sedar. Jadi kurangkan laju sikit. Leoncino ini dilengkapi dengan sistem brek cakera berkembar 320mm dengan ABS di bahagian hadapan dengan angkup 4 piston dan brek cakera dengan angkup tunggal 260mm di bahagian belakang. Admin senyum je ketika menunggang Leoncino ini.

Benelli Leoncino ini boleh dikatakan memiliki perincian yang kemas antaranya sistem paparan meter digital penuh dan juga kemasan lampunya. Bagi keseluruhan kemasan Leoncino ini, tiada komen dari Admin bagi sebuah motosikal ala retro klasik ini. Kalau ada rezeki, memang nak tambah satu jadi koleksi kerana versatilitinya. Harga pun dalam kategori mampu milik dari RM27,999.00 termasuk GST dan hadir dengan 2 warna iaitu merah dan hitam.